Tuesday 24 December 2013

Tengku Mahkota - Sedia Hadapi Gelombang Ke-2 Banjir





KUANTAN - Tengku Mahkota Pahang Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah hari ini menitahkan agar semua agensi berkaitan bersiap siaga sepenuhnya bagi menghadapi banjir gelombang kedua yang diramal melanda minggu depan.

Baginda juga mahu penduduk bersedia untuk berpindah apabila diarah berbuat demikian.
 
"Saya harap mereka yang tinggal di kawasan yang mudah dinaiki air haruslah berpindah jangan tunggu, ini akan mengundang bahaya kepada keluarga berkenaan.

"Kita faham bukan senang nak tinggalkan rumah tapi kita utamakan nyawa dahulu," titahnya selepas berangkat ke sesi taklimat persiapan banjir untuk gelombang kedua di sini, hari ini.
   
Taklimat itu disampaikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Bencana Pahang Datuk Seri Muhammad Safian Ismail.

Baginda bertitah berdasarkan taklimat itu, agensi keselamatan dan jabatan berkaitan diagih menggunakan sistem zon bagi membolehkan masing-masing menumpukan kepada kawasan yang telah ditetapkan.
   
"Untuk Jalan Kuantan-Gambang terutama sekitar Taman Sungai Isap akan diberi tanggungjawab kepada pihak tentera (untuk tindakan pemindahan dan bantuan awal).
   
"Kawasan Jalan Bypass di kawasan Bukit Rangin oleh Jabatan Bomba dan  Penyelamat, Cenderawasih oleh Jabatan Pertahanan  Awam (JPAM), Sungai Lembing, Pasir Kemudi dan Panching oleh polis," titahnya.
   
Di samping itu titahnya, pasukan Rela juga akan menumpukan bantuan di kawasan-kawasan yang memerlukan bantuan anggota tambahan.
   
Titahnya persiapan itu turut melibatkan sembilan helikopter yang disediakan oleh pelbagai agensi  selain 36 buah bot penyelamat pihak bomba.
   
"Jumlah keseluruhan petugas penyelamat ialah 6,200 orang bagi menghadapi gelombang kedua ini," titahnya.
   
Selain itu, Jabatan Penerangan dan bomba juga akan melakukan pemakluman hujan lebat di kawasan perumahan bagi membolehkan penduduk bersedia untuk berpindah. - Bernama

No comments:

Post a Comment