Wednesday, 12 March 2014

Maut : Tak Sempat Makan Lauk Sotong



SEGAMAT - Seorang pelajar tingkatan lima tidak sempat menjamah lauk sotong dimasak ibunya apabila maut terlibat kemalangan dengan sebuah lori di KM 73, Jalan Segamat-Muar berhampiran persimpangan Tanjung Sekawang, semalam.

Mohd Ashraf Abdullah, 17, yang mesra disapa dengan panggilan ‘Ayap’ meninggal dunia di tempat kejadian setelah motosikal jenis Yamaha 135LC ditunggangnya berlanggar  dengan lori terbabit.

Sepupunya, Nuraina Adriana Azmi, 18, berkata, dia dalam perjalanan menghantar ibu mangsa, Karynadia Abdullah, ke tempat kerja di Lebuh Raya Segamat-Kuantan menaiki kereta bersama abang mangsa, Mohd Fazelin Abdullah.

“Sebak melihat lauk sotong yang dimasak mama (ibu mangsa) tidak sempat dijamah Ayap. Sewaktu hampir tiba di tempat kerja mama, abang long (abang mangsa) terima panggilan daripada rakannya yang mengatakan Ayap kemalangan di persimpangan Tanjung Sekawang.



“Kami yang ketika itu terperanjat segera berpatah balik dan terus ke kawasan kejadian sebelum mendapati Ayap sudah terbaring berhampiran motosikalnya.

“Keadaan menjadi sayu apabila mama terus berlari ke arah Ayap dan mencium pipinya berkali-kali,” katanya, di sini semalam.

Nuraina berkata, anak bongsu daripada dua beradik itu rapat dengannya.


Ciuman terakhir

Katanya, pada pagi kejadian, ibu saudaranya sempat memasakkan Ayap lauk sotong seperti yang diminta untuk dijadikan bekal ke sekolah.

“Memang setiap hari Ayap akan bawa bekal ke sekolah dan semalam (kelmarin), dia ada beritahu mama untuk bawa bekal lauk sotong masak sambal dan mama tidak pernah menolak permintaan anak-anaknya.

“Ayap juga sempat cium mama dan meninggalkan beberapa pesanan pada pagi kejadian sedangkan dia tidak pernah berkelakuan sebegitu sebelum ini,” katanya.

Ibu saudara mangsa, Nurzubaidah Mohamaed, 24, mengakui pemergian Ayap begitu dirasai keluarganya kerana tarikh kematian berdekatan dengan arwah ibu dan bapa mertuanya.

“Esok (hari ini) cukup genap dua bulan arwah ayah meninggal, manakala lusa (Rabu) genap dua tahun arwah emak meninggal dan hari ini (semalam) Ayap pula yang pergi. Semuanya saling berturutan.

“Ayap pernah berpesan supaya rumah pusaka arwah emak yang saya duduki sekarang bersama suami jangan dirobohkan dan semalam (kelmarin), baharu selesai kerja baik pulih rumah ini. Kami pun belum sempat membersihkan rumah ini,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Segamat, Superintendan Mohd Kamil Sukarmi, mengesahkan menerima laporan berhubung  kejadian tersebut.

“Mangsa gagal mengawal motosikalnya sebelum melanggar lori yang membawa muatan barangan dan akibat pelanggaran tersebut, mangsa maut serta merta di tempat kejadian. Mangsa patah kaki kiri, patah tulang rusuk dan hatinya hancur,” katanya.

Mayat mangsa dibawa ke Hospital Daerah Segamat (HDS) untuk dibedah siasat dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Gudang Garam, di sini, selepas  solat Zohor.


Mangsa tercampak

Dalam kemalangan berasingan di Kota Tinggi, seorang pengawal keselamatan yang dalam perjalanan pulang dari tempat kerjanya, maut dalam kemalangan  di Kilometer 3, Jalan Kota Tinggi-Kluang, petang kelmarin.

Mangsa, Irwan Abdullah, 55, bekerja di sebuah ladang meninggal dunia selepas motosikal jenis Honda C100 yang ditunggangnya berlanggar dengan sebuah kereta jenis Hyundai Matrix berhampiran simpang masuk Taman Kota, dekat sini.

Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintendan Rahmat Othman berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 7.30 petang dan mangsa meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan dalaman.

“Siasatan awal mendapati, mangsa yang dalam perjalanan dari arah bandar Kota Tinggi telah masuk ke laluan  bertentangan semasa melalui selekoh sebelum bertembung dengan sebuah kereta yang  datang dari arah Kluang.

“Mangsa yang tercampak sejauh beberapa meter mengalami kecederaan dalaman mati di tempat kejadian, manakala pemandu kereta berusia 51 tahun tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya kepada Sinar Harian.

Rahmat berkata, mayat mangsa dihantar ke Unit Perubatan Forensik, Hospital Kota Tinggi (HKT) untuk bedah siasat sebelum diserahkan kepada keluarga untuk dikebumikan di Perkuburan Islam Kampung Makam, di sini.

Beliau berkata, kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

No comments:

Post a Comment