Wednesday, 12 March 2014
Tips: Buat Wanita Untuk Berjaya
Hari ini sudah tidak seperti dulu apabila golongan wanita, isteri dan ibu lebih peka dan mengambil tahu mengenai perihal kewangan keluarga. Ramai juga yang menyumbang kepada kewangan keluarga dan ramai usahawan wanita yang berjaya menyumbang kepada ekonomi negara.
1. Jangan bergantung 100 peratus kepada suami atau teman lelaki
Dalami ilmu kewangan, pelaburan dan perniagaan, tidak perlu hanya bergantung kepada suami atau teman lelaki. Sikap menganggap diri akan dibantu sekiranya terjadi sesuatu yang tidak diingini, tidak perlu ada dalam diri. Dalami cara menyimpan dan melabur untuk mengembangkan kewangan anda.
Fikirkan bagaimana untuk menggandakan wang yang ada melalui pelaburan yang selamat dan sah. Anda juga perlu bertanggungjawab atas perihal kewangan anda kerana malang tidak berbau seperti suami hilang punca pendapatan, kemalangan, kematian, sakit atau perceraian. Dengan menguasai kewangan untuk diri sendiri dan keluarga, ia lebih menjamin masa hadapan yang lebih selesa.
Foto
2. Tidak perlu gunakan wang sebagai alasan memuaskan diri
Sama ada wanita atau lelaki, masing-masing memang suka membeli-belah pada zaman ini. Fahami dan kawal belian berteraskan keperluan yang sememangnya penting dan kemahuan pula, mungkin hanya sekadar memuaskan diri.
Daripada menggunakan wang sebagai alasan memuaskan diri, lebih baik lakukan sesuatu yang memperkasakan diri tanpa perlu berasa berbelanja untuk memenuhi kemahuan dan kepuasan. Aktiviti seperti pergi ke gimnasium, mempelajari skil baru, bersukan, mengasah kreativiti, menambah ilmu dan seumpamanya dapat meningkatkan nilai dan keperluan psikologi diri sendiri.
3. Tambahkan ilmu dalam bidang tertentu
Kini, pelbagai program dikendalikan oleh institusi pengajian tinggi khusus untuk orang dewasa yang bekerja atau suri rumah. Program jangka pendek dan juga panjang sebegini amat fleksibel untuk memenuhi keperluan mereka yang mempunyai karier atau berkeluarga.
Kelas diadakan pada hujung minggu atau kelas malam beberapa kali saja sebulan. Bukan saja anda mendapat sijil melanjutkan pendidikan ke tahap yang lebih tinggi, ia juga membantu meningkatkan nilai diri untuk karier dan perniagaan. Saya juga pensyarah untuk program Universiti Terbuka – IPD Diploma Profesional Perniagaan Internet dan Strategi Media Sosial kini dan mendapati peserta wanita semakin ramai menyertainya, sama jumlahnya dengan golongan lelaki. Menunjukkan kemahuan dan semangat mencari ilmu dan berniaga zaman ini untuk wanita semakin meningkat.
4. Wang untuk kecemasan
Sifat berjaga-jaga wanita amat membantu dalam perihal kewangan. Sememangnya kita sering doa dan usahakan yang terbaik, fikirkan juga kecemasan di masa hadapan yang boleh berlaku. Lebih awal menyedari perihal ini, lebih baik untuk mengumpul wang kecemasan.
Sebaiknya sediakan wang kecemasan sebanyak tiga hingga enam bulan perbelanjaan semasa. Mungkin amat sukar bagi ramai antara kita, namun sikap wanita yang lebih berjimat cermat dan bersabar berbanding lelaki, satu kelebihan untuk mencapai matlamat ini. Mulakan simpanan sedikit, lama-lama akan menjadi bukit.
5. Babitkan diri dalam pengurusan dan perbelanjaan kewangan keluarga
Tidak lagi seperti dulu, kini wanita harus lebih membabitkan diri dalam pengurusan kewangan keluarga. Wanita juga sering menjadi pembuat keputusan belian isi rumah menjadikan mereka terbaik untuk mengurus perihal wang.
Tetapkan matlamat kewangan jangka pendek dan juga panjang. Menetapkan matlamat kewangan adalah kunci untuk berjaya dalam bidang kewangan bersama keluarga.
6. Pilih pasangan hidup yang terbaik untuk anda
Seperti yang dikatakan, cinta itu buta. Tidak kenal rupa, kekayaan mahupun latar belakang pasangan. Namun amat penting untuk pastikan keadaan kewangan pasangan itu stabil sebelum berkahwin. Jangan pula sehingga anda perlu mengambil alih hutang pasangan anda.
Sikap lemah lembut dan penyayang wanita semestinya mahu membantu pasangan hidup. Tetapi terdapat banyak kisah masalah kewangan si suami yang tidak endahkan pengurusan kewangan menyebabkan isteri menanggung bebanan hutang dan tekanan. Dapatkan pasangan yang peka kepada pengurusan kewangan. Tidak perlu yang kaya-raya, tetapi yang bertanggungjawab dalam pengurusan kewangan bersama dan tidak mempunyai hutang keliling pinggang.
7. Belajar daripada kesilapan
Sebagai manusia, wanita atau lelaki pastinya tidak lari daripada kesilapan menguruskan wang. Apa yang penting, jangan terlalu kecewa dengan kesilapan pengurusan lampau sehingga menganggu perancangan dan pengurusan kewangan masa depan.
Pelajari daripada kesilapan dan perbaiki sebarang kekurangan. Apabila gagal dalam kewangan, pastinya akan kecewa. Tetapi, sebaiknya, keluar daripada kekecewaan terbabit secepat mungkin dan jangan disimpan dan memberi implikasi yang kurang baik pada diri sendiri untuk waktu akan datang. Untuk berjaya dalam kewangan, ia bergantung kepada sikap anda terhadap diri sendiri dan wang. Sikap yang betul dan positif terhadap wang pasti akan membantu anda memperoleh kesenangan dari segi wang untuk diri, suami dan keluarga pada masa hadapan.
Sumber
P/S: JOM BUAT DUIT DENGAN SHAKLEE! :)
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment