Monday, 27 January 2014
Gangguan Nafas Si Kecil
Selesema dalam kalangan bayi sememangnya membuatkan ibu bapa risau. Selesema menyebabkan hidung bayi tersumbat dan sukar bernafas dengan baik seterusnya mengganggu tidur si kecil.
Ia juga menyukarkan bayi menyusu dengan baik kerana tidak boleh bernafas secara lancar.
Jika selesema berlaku pertama kali pada bayi dalam tempoh yang panjang, ia harus diberi perhatian serius kerana boleh menyebabkan kahak yang turut mengganggu sistem pernafasan bayi.
Selesema ialah jangkitan bahagian atas saluran pernafasan yang berpunca daripada pelbagai jenis virus. Misalnya, bayi yang sedang membesar suka bermain dan mahu mengenal dunia dengan lebih mendalam, jadi mereka bergerak ke pelbagai kawasan termasuk di bahagian berhabuk.
Habuk akan menyebabkan bayi bersin dan mudah menghidap selesema.
Selesema juga mudah merebak daripada seseorang kepada orang lain atau bayi, misalnya orang dewasa yang mengalami selesema mencium bayi boleh menyebabkan virus itu terkena pada bayi.
Virus selesema juga akan merebak melalui udara untuk menjangkiti orang lain.
Selain itu, asap rokok akan mendedahkan bayi kepada selesema, jadi elakkan bayi daripada mereka yang merokok.
Selesema akan menjejaskan bayi kerana menyebabkan penyakit lain iaitu demam, batuk, mata menjadi merah dan sakit tekak.
Ini seterusnya membuatkan bayi berasa tidak selesa dan mudah meragam. Berat bayi juga turun mendadak kerana hilang selera makan.
Tangani segera
Bayi yang menghidap selesema bukan saja bermasalah untuk tidur malam, malah kuat meragam. Ia ternyata membuatkan bayi mengalami masalah pernafasan kerana mereka hanya pandai bernafas secara normal.
Bagi orang dewasa, mereka boleh bernafas menggunakan mulut dan hidung, namun bagi bayi sehingga berusia empat tahun, mereka tidak pandai bernafas menggunakan hidung.
Antara langkah boleh dilakukan adalah mengeluarkan mukus bayi menggunakan peralatan yang ada di pasaran atau klinik.
Pembuangan mukus secara teratur akan mempercepatkan proses penyembuhan selesema bayi.
Kaedah rawatan terbaik untuk bayi adalah kerap menyusukan mereka dengan susu badan. Susu badan menguatkan antibodi bayi seterusnya mempercepatkan proses penyembuhan.
Kebiasaannya bayi yang menyusu badan susah jatuh sakit, sekiranya sakit sekalipun ia hanya sakit ringan.
Sekiranya selesema berpanjangan, elok dibawa pakar perubatan untuk mendapatkan nasihat dan kaedah rawatan sesuai.
Ibu bapa boleh memberikan si kecil vitamin C atau minuman jus bagi bayi yang berusia dua tahun ke atas.
Selain itu, ubat-ubatan lain yang boleh diberi hanya di bawah pengawasan doktor mengikut dos dibenarkan.
Cara melegakan selesema bayi
Jika hidung bayi tersumbat, tinggikan kepala mereka menggunakan tuala untuk membantu pernafasan. Tidur dalam keadaan begitu akan melegakan hidung bayi dan memastikan mukus keluar.
Elak menggunakan bantal untuk meninggikan kepala bayi kerana boleh menyebabkan bahaya mati lemas.
Lakukan pemantauan ke atas bayi dengan menyapu hidung mereka supaya mukus keluar dan boleh bernafas dengan mudah.
Sumber
Labels:
Chewable Vita-C Plus
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment