Wednesday, 8 January 2014
Peluang Perniagaan FAMA - 2014
Buat julung kalinya Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) menganjurkan ekspo pertanian D’Agri Expo 2014 yang bakal berlangsung di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) pada 13 hingga 16 Februari depan.
Ekspo berkenaan disertai 250 peserta membabitkan bidang perusahaan kecil dan sederhana (PKS) sektor agro makanan, pembuatan dan perkhidmatan.
Selain itu, ia membabitkan penyertaan syarikat swasta domestik dan antarabangsa sepanjang rantaian bekalan pertanian, agensi agro pelancongan dan promoter makanan.
Bagi memeriahkan ekspo empat hari itu, FAMA turut menyediakan ruang kepada pengusaha pasar tani, operator kios buah-buahan, pemborong dan peruncit barangan segar tani.
Turut serta syarikat florikultur dan landskap serta perkhidmatan dan kemudahan kerajaan dalam sektor pertanian.
Beberapa aktiviti menarik turut diadakan seperti jualan produk pertanian, promosi produk, aktiviti agro pelancongan, sesi rundingan dagangan, pameran dan penerangan oleh jabatan atau agensi kerajaan.
Majlis perasmian ekspo itu akan disempurnakan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Ketua Pengarah FAMA, Datuk Ahmad Ishak berkata, penganjuran ekspo itu sebagai salah satu usaha untuk memacu bidang pemasaran pertanian negara ke tahap lebih tinggi.
Selain itu katanya, ia dapat meningkatkan bilangan penyertaan golongan profesional ke dalam sektor pertanian.
“Ekspo ini adalah inisiatif yang selaras dengan hasrat kerajaan bagi menyediakan landasan betul, sekali gus melakukan transformasi secara keseluruhan bagi mencapai taraf negara maju menjelang 2020.
“Penganjuran D’Agri Expo 2014 ini juga bagi menyahut seruan kerajaan dalam melahirkan lebih ramai usahawan tani yang berjaya dan mempunyai minda terbuka dalam sektor itu,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada sidang media sempena promosi program D’Agri Expo 2014 di Ibu Pejabat FAMA, Bandar Baru Selayang, baru-baru ini.
Ahmad berkata, tema ‘Gerbang Kepada Masa Depan’ dipilih kerana sektor pertanian adalah perniagaan menguntungkan dan sebagai jaminan masa depan bagi mereka yang berpandangan jauh.
“Fokus utama ekspo itu adalah menawarkan peluang perniagaan dan keusahawanan dalam pelbagai bidang pertanian serta mewujudkan pusat sehenti untuk memudahkan urusan pemadanan perniagaan.
“Ia juga membuka ruang kepada usahawan memperkenal dan mempromosikan produk, selain memantau sambutan orang ramai terhadap produk mereka,” katanya.
Katanya, ekspo itu turut membantu dalam menjalin hubungan perniagaan dalam kalangan usahawan, mewujudkan satu platform untuk semua peserta bekerjasama dan berkongsi idea.
“Ini penting untuk memajukan perniagaan, selain menampilkan sektor agro pelancongan sebagai nilai tambah kepada pembangunan pelancongan
dalam bidang pertanian,” katanya.
Menurutnya, dijangkakan 40,000 pelawat perdagangan menyertai ekspo itu, manakala pelawat am pula dianggarkan 350,000 orang.
“Ada juga syarikat dari luar negara berminat menyertai ekspo ini seperti Jepun, Singapura, Fiji dan Sri Lanka,” katanya.
FAMA katanya, mengunjurkan jualan tunai semasa sebanyak RM10 juta dan
potensi jualan pemadanan perniagaan sebanyak RM90 juta.
Sumber daripada myMetro, 6 Januari 2014 | http://sanasinishaklee.blogspot.com
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment